Seminar Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 labuh tirai





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






TUNGKU LINK, Isnin, 7 Julai. - Seminar Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 melabuhkan tirainya dengan tema 'Membina Jambatan Antara Inovator, Industri dan Institusi' ('Building Bridges Between Innovators, Industry, and Institutions') bertempat di Teater Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan Universiti Teknologi Brunei (UTB), di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Naib Canselor (Hubungan Luar dan Industri), UTB, Dr. Mohamad Saiful bin Haji Omar.


Terdahulu itu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan yang disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Seminar, CIPTA 2025, Dr. Ismawi bin Haji Md. Yusof.


Acara diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk 'Menyebarkan Aura Kemenangan' ('Spreading the Winning Vibes'), yang dikendalikan oleh Penolong Profesor Kanan dari Bidang Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UTB, Dr. Md. Motiar Rahman.


Sesi tersebut menampilkan pembentangan daripada para pemenang utama pertandingan CIPTA 2025, termasuk Kategori 1 (Mencipta Produk, Proses atau Teknologi Baharu) oleh Dayang Fatin Nuratikah binti Haji Asbi dari UTB; Kategori 2 (Mengubah Suai Produk, Proses atau Teknologi Sedia Ada) oleh Dr. Law Kah Haw dari UTB; Kategori 3 (Mencipta atau Mengubah Suai Produk, Proses atau Teknologi oleh Pencipta Muda) oleh Lee Jing Jing dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; dan Kategori Junior Bijak oleh Callum Singh Sekhon dari Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait.


Pembentangan ini memberikan pandangan yang bernilai terhadap penyelesaian inovatif yang dibangunkan oleh para peserta serta menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada tetamu yang hadir.


Acara kemudian diikuti dengan sesi soal jawab, di mana mereka yang hadir berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan para pembentang. Dialog interaktif tersebut mencetuskan perbincangan lanjut mengenai proses inovasi dan perjalanan dalam mengubah idea kepada penyelesaian yang berdaya maju.


Program diteruskan dengan forum bertajuk 'Membuka Jalan Ke Hadapan dengan Pihak Berkepentingan' (Pave the Way Forward with Stakeholders'), yang dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Pengiran Dr. Haji Azhan bin Pengiran Haji Ahmad.


Forum ini menghimpunkan beberapa penceramah utama dari pelbagai institusi dan industri.


Pembentangan pertama, memfokuskan kepada kajian kebolehlaksanaan, telah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Perusahaan di UTB, Dr. Sharina Yunus, diikuti dengan sesi perkongsian strategik oleh Ketua Perhubungan Luar di Brunei LNG Sendirian Berhad, Malai Ayla Surya Malai Haji Abdullah.


Manakala, penceramah ketiga, Ketua Pengurusan Program Pembangunan Perusahaan di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Reuben Chin, berkongsi pandangan tentang aliran proses perniagaan.


Penceramah terakhir iaitu Ketua Pegawai Eksekutif InnovAero, Awang Shafique Hussain, berkongsi kisah kejayaan yang mengetengahkan inovasi dan keusahawanan.


Setiap penceramah menyampaikan pembentangan ringkas, diikuti dengan perbincangan mengenai peluang dan cabaran dalam merapatkan inovasi dengan rangka kerja komersil dan institusi.


Seminar diadakan sempena Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 anjuran UTB dengan kerjasama Brunei LNG Sendirian Berhad.


Acara ini merupakan sebahagian daripada Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2025 di bawah kluster Teknologi dan Inovasi.

 

Close